RMPA lantik Mohamad Norza sebagai presiden baharu

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
27/07/2021 02:33 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai -- Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) sebulat suara melantik Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai presiden baharu persatuan itu menggantikan Datuk Mohamed Moiz.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah penaung RMPA.

RMPA dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dibuat pada mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan yang diadakan secara dalam talian, semalam.

Menurut kenyataan itu, Mohamad Norza menzahirkan ucapan terima kasih kepada presiden dan barisan jawatankuasa terdahulu atas sumbangan mereka kepada persatuan selama ini, selain menyatakan beliau telah mewarisi sebuah persatuan yang amat kukuh.

Beliau menerangkan bahawa fokus jawatankuasa baharu dipimpinnya adalah untuk menganjurkan lebih banyak pertandingan polo tempatan yang akan menggalakkan penyertaan lebih luas sekali gus mampu menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan dan kerjaya dalam industri polo negara.

Mohamad Norza turut memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pada masa sama, kenyataan itu turut memberitahu Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamalullail dan Datuk Seri Tengku Uzir Tengku Ubaidillah masing-masing dipilih selaku Naib Presiden Bersama pada AGM tersebut.

Jawatan lain menyaksikan Datuk Quzier Ambak Mahamad Fathil dipilih sebagai Setiausaha Kehormat, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim (Bendahari Kehormat) dan Lt Kol (B) Ahmad Fakharuzi Ibrahim selaku Setiausaha Eksekutif dan Penyelaras Liga Persatuan Polo Diraja Malaysia.

Tiga posisi ahli jawatankuasa pula disandang Datuk Seri Razak Feroz Khan, Datuk Khamarulazlan Mohamad Hanafiah dan Toh Muda Rizal Ashram Ramli.

Sebagai rekod, Malaysia mempunyai pencapaian membanggakan dalam sukan polo di rantau Asia Tenggara apabila memenangi kesemua pingat emas dipertandingkan pada empat temasya Sukan SEA berbeza iaitu edisi 1983 di Singapura, 2007 (Korat), 2017 (Kuala Lumpur) dan 2019 di Filipina.

-- BERNAMA