Cabaran Syaqiera di Tokyo berakhir di tangan wakil ROC

Syaqiera Mashayikh Credit: Jurulatih Muhammad Marbawi Sulaiman
27/07/2021 05:15 PM

TOKYO, 27 Julai -- Selepas mencipta rekod panahan peribadi terbaik, cabaran pemanah negara Syaqiera Mashayikh di Sukan Olimpik Tokyo 2020, berakhir dengan kekecewaan selepas gagal memanfaatkan peluang terhidang pada pusingan pertama acara recurve individu wanita, hari ini.

Syaqiera, 20, ditunjukkan jalan keluar oleh pemanah yang mewakili Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) Elena Osipova, dengan keputusan 4-6.

Pada aksi di Lapangan Memanah Yumenoshima Park, atlet kelahiran Segamat, Johor itu menikmati permulaan positif dengan kemenangan 26-25 pada set pertama, meskipun tangan kirinya dilihat menggeletar ketika melakukan panahan.

Keadaan tangannya itu kekal dalam set berikutnya menyaksikan beliau gagal meneruskan momentum pada set kedua, apabila tewas 26-28 sebelum terikat 26-26 dan 25-25 masing-masing pada set ketiga dan keempat, menjadikan kedudukan terikat 4-4.

Memasuki set terakhir, Syaqiera dan Osipova masing-masing mengutip sembilan mata pada panahan pertama sebelum atlet ROC itu mendahului 19-18 pada panahan kedua dan mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya dengan keputusan 29-23.

Jumaat lepas, Syaqiera mencipta sensasi, selepas menamatkan saingan pusingan penentuan ranking di kedudukan ke-43 dengan memperbaiki rekod 619 mata, yang dilakukan pada kelayakan terakhir Olimpik di Paris Jun lepas sekali gus menjadi rekod peribadi terbaiknya.

Sementara itu, kekalahan Syaqiera menyaksikan tumpuan kini terarah kepada jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad, yang akan turun beraksi dalam pusingan pertama acara recurve individu lelaki menentang Antti VIkstrom dari Finland di venue sama, esok pagi.

-- BERNAMA