Emas angkat berat Olimpik: Kejayaan Hidilyn kebanggaan keluarga angkat

Ahmad Janius Abdullah
27/07/2021 11:50 PM

JASIN, 27 Julai -- Kejayaaan jaguh angkat berat Filipina Hidilyn Diaz mengukir sejarah merangkul emas pertama buat negaranya di Sukan Olimpik Tokyo, turut menjadi kebanggaan keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua di sini, yang telah menghabiskan masa bersama atlet itu lebih setahun lalu.

Bapa angkat yang juga jurulatih jaguh berkenaan Ahmad Janius Abdullah, 50, berkata, keazaman yang tinggi selain fokus dan sentiasa bertekad menggapai impian emas Olimpik, adalah resepi utama wanita berusia 30 tahun berasal dari Zamboanga City itu.

Ahmad Janius, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia, turut menyifatkan membantu pemenang pingat emas kategori 55 kilogram itu sepanjang latihannya di Melaka, adalah atas dasar semangat kesukanan yang tinggi dan persahabatan antara dua negara.

Katanya Hidilyn yang lebih dikenali Hidi itu, telah berada di Teratak Muhammedar yang menjadi asrama dan pusat latihannya, bersama dua lagi jurulatih peribadinya sejak 16 Sept tahun lepas.

“Hidi seorang yang cerewet dan dia akan memastikan semua peralatan dan fasiliti latihan berada dalam keadaan sempurna dan teratur, dalam segenap aspek termasuk perkara-perkara kecil.

“Kata-katanya sentiasa terngiang, iaitu dia mahu pingat emas Olimpik dan gigih menjalani rutin latihan selama tujuh jam setiap hari, iaitu pukul 10 pagi hingga pukul 1 tengah hari dan pukul 5 hingga pukul 7 petang, selain fokus terhadap pelajarannya pada waktu malam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ahmad Janius berkata, Hidi yang membuat penampilan keempat di pentas Olimpik itu juga seorang yang berdisplin tinggi, terutamanya mengenai latihan dan pemakanan apabila setiap jumlah makanannya akan ditimbang.

Beliau berkata, dia juga berkesempatan menghantar Hidi dan pasukannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Sukan Olimpik Tokyo, pada 18 Julai lalu.

“Hubungan saya dengan Hidi juga seperti bapa dan anak, walaupun dia memanggil saya ‘sir’ dan saya akan pastikan keperluannya di rumah itu, sentiasa mencukupi dan terbaik.

“Saya juga telah berpesan kepadanya supaya beraksi dengan baik dalam angkatan ‘snatch’, kerana itu kelemahannya dan ternyata Hidi mengambil serius pesanan itu untuk beraksi dengan cemerlang, sekali gus meraih emas,” katanya.

Katanya dia turut berbangga dan terharu, walaupun Hidi mendapat liputan meluas dan perhatian dunia namun beliau tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka di teratak itu dan Malaysia, sejurus merangkul emas.

Ahmad Janius berkata pada awalnya, Teratak Muhammader itu hanyalah rumah tinggal yang penuh dengan semak samun, namun beliau mengubah suai kawasan rumah dan garaj di situ seperti gimnasium terbuka.

“Pada permulaan dia seperti tidak selesa, tetapi mula jatuh cinta dengan tempat ini selepas seminggu kerana suasana yang aman, membolehkannya berlatih dengan tenang dan fokus.

“Apa lebih penting ialah apabila Hidi menjalani latihan di sini, manfaat turut diterima daripada anak-anak muda yang berlatih angkat berat di sini, dapat mempelajari pelbagai ilmu daripada seorang atlet bertaraf dunia,” katanya sambil menambah Hidi tidak lokek berkongsi ilmu, dengan anak-anak muda yang menjalani latihan di tempat berkenaan.

Tambahnya dia juga dimaklumkan Hidi yang sangat menggemari Asam Pedas Melaka dan Durian IOI itu, akan kembali ke ke negeri ini dalam masa terdekat bagi kejohanan berikutnya.

Hidi terkandas di Malaysia sejak Januari tahun lalu berikutan penularan COVID-19, selain pernah berlatih di beberapa tempat berbeza seperti Kompleks Sukan Desa Pandan dan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

-- BERNAMA