Bekas juara dunia calar hari bersejarah Soniia di Tokyo

Soniia Cheah (Gambar fail)
28/07/2021 02:49 PM

TOKYO, 28 Julai  -- Pemain perseorangan wanita utama negara Soniia Cheah Su Ya tersingkir daripada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas tewas dalam aksi pertamanya di pentas temasya berprestij itu di Musashino Forest Sport Plaza, hari ini.

Soniia, 28, akhirnya membuat penampilan sulung di pentas Olimpik selepas lawannya Laura Sarosi dari Hungary menarik diri akibat kecederaan pada aksi pembukaan Kumpulan N semalam, namun terpaksa akur dengan kehebatan pemain ranking keenam dunia Ratchanok Intanon dari Thailand.

Bagaimanapun, beliau yang berada di ranking ke-35 tetap memberikan saingan sengit kepada lawannya itu yang turun sebagai pilihan kelima temasya, pada aksi memasuki set penentuan dengan kemenangan berpihak kepada Ratchanok 19-21, 21-18, 21-10 dalam tempoh 61 minit.

Keputusan itu menyaksikan Ratchanok yang juga bekas juara dunia 2013 melebarkan rekod kemenangan berdepan Soniia kepada lima pertemuan sejak 2017.

Kekalahan itu turut menutup peluang Soniia untuk mara ke pusingan suku akhir sekali gus menjadi wakil ketiga daripada kem badminton negara di Tokyo yang tersingkir selepas beregu campuran dan beregu wanita turut terkandas seawal pusingan kumpulan.

Ia juga adalah kekalahan kelima daripada lima perlawanan Soniia di pentas antarabangsa musim ini.

Sementara itu, misi pemburuan pingat perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia akan diteruskan dalam perlawanan wajib menang ke atas pemain Perancis Brice Leverdez pada aksi terakhir Kumpulan M pukul 8.40 malam ini (7.40 malam waktu Malaysia).

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Soniia berkata semuanya berada dalam kawalan apabila beliau berjaya mengikut rentak permainannya untuk memenangi set pertama sebelum bermula dengan agak buruk pada set kedua disebabkan arah angin.

Beliau mengakui keadaan itu menjejaskan permainannya pada permulaan yang menyaksikan beliau memberi mata mudah kepada lawannya sebelum akhirnya terbiasa dengan gelanggang, namun ia sudah terlewat apabila Intanon berjaya menamatkan perlawanan dengan memenangi set kedua 21-18.

“Pada penghujung set kedua, Ratchanok (Intanon) mendapat kelebihan beberapa pukulan dan berjaya bangkit serta mendapat keyakinan semula dalam set ketiga, momentumnya juga sudah kembali,” katanya.

-- BERNAMA