COVID-19: Tuan rumah Olimpik rekod jumlah kes harian tertinggi

28/07/2021 06:34 PM

ANKARA, 28 Julai  -- Tokyo, tuan rumah temasya sukan terulung dunia, Olimpik 2020, melaporkan lonjakan kes harian tertinggi COVID-19 pada Rabu.

Menurut sumber kerajaan Jepun, jumlah terkini kes melepasi 3,000 pada Rabu, lapor Agensi Berita Anadolu memetik Kyodo News. Ini pertama kali bandar raya itu mencatat jumlah jangkitan harian tertinggi sejak wabak melanda.

Kes jangkitan terus meningkat, sebanyak 2,848 kes direkod pada Selasa meskipun darurat diisytiharkan di Tokyo dan wilayah sekitar untuk membendung penularan wabak.

 Kes akibat COVID-19 turut merebak dalam kalangan pegawai dan peserta.

Sekurang-kurangnya 16 lagi kes melibatkan petugas Olimpik dilaporkan pada Rabu, tetapi tidak dalam kalangan atlet. Sehingga kini, 169 kes telah direkodkan.

"Kami tetap komited untuk menganjurkan sukan yang selamat sehingga temasya berakhir," kata jurucakap jawatankuasa penganjur, Masanori Takaya pada sidang media.

Tokyo, Kanagawa dan Chiba menyaksikan peningkatan kes COVID-19 melibatkan varian Delta.

Berikutan itu Kanagawa, Saitama dan Chiba juga mempertimbang untuk meminta kerajaan pusat memperluas pengisytiharan darurat berikutan keadaan semakin membimbangkan.

-- BERNAMA