Nuraisyah, Juni bergelut dengan keadaan ombak besar, angin kuat

Atlet pelayaran negara, Nuraisyah Jamil (kiri) dan Juni Karimah Noor Jamali. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
28/07/2021 07:10 PM

TOKYO, 28 Julai -- Ia bukan lah permulaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 diimpikan atlet pelayaran negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali, selepas gandingan itu menamatkan saingan hari pertama acara International 470 Wanita di kedudukan tiga tercorot, hari ini.

Keadaan ombak besar dan angin kuat di Enoshima Yacht Harbour, turut mempengaruhi persembahan kurang memberangsangkan gandingan yang kali pertama membuat penampilan di pentas Olimpik itu.

Bagaimanapun, semangat juang tinggi Nuraisyah yang bertindak sebagai ‘helm’ dan Juni (kru), menyaksikan mereka tetap mengharungi cabaran laut bergelora untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-18 dan ke-20, masing-masing dalam perlumbaan pertama dan kedua.

Jurulatih kebangsaan Muhammad Sahir A Rahim berkata, beliau telah mengenal pasti beberapa masalah yang menghalang anak buahnya daripada mencapai kelajuan maksimum, terutama ketika berdepan kelajuan angin mencecah 20 knot dan ombak setinggi 2 meter (m).

“Keadaan ombak dan angin seperti itu baru terjadi pada perlumbaan hari ini, jadi selepas acara tamat kami menghabiskan masa yang lama di venue untuk memperbaiki kesilapan itu, terutama dari segi handling dan sistem (yang menggangu rentak belayar),” katanya ketika dihubungi Bernama.

“Esok keadaan cuaca dijangka angin lebih kuat dan ombak lebih besar, tetapi kita harap dengan persediaan dibuat hari ini, kita tidak akan menghadapi masalah,” tambah beliau yang mengakui anak buahnya tidak mempunyai pengalaman luas, untuk berdepan cuaca sebegitu.

Beliau berkata keadaan cuaca itu memberikan kelebihan kepada pelayar Eropah yang lebih berpengalaman, untuk memanfaatkan sepenuhnya kedua-dua perlumbaan hari ini.

Kedua-dua perlumbaan itu diungguli gandingan di ranking kelima dunia Agnieszka Skrzypulec dan Jolanta Ogar dari Poland, sekali gus menerajui kedudukan keseluruhan daripada 21 pasangan dengan dua mata bersih.

Selepas dua siri perlumbaan, Nuraisyah dan Juni berada di tempat ke-19 dengan 38 mata bersih dan dijadual turun beraksi pada perlumbaan ketiga dan keempat esok.

-- BERNAMA