Potensi sukan angkat berat di Melaka wajar diberi perhatian - Ahmad Janius

28/07/2021 07:52 PM

JASIN 28 Julai  -- Pembangunan sukan angkat berat di Melaka sewajarnya diberi perihatian, khusus dalam melahirkan jaguh masa hadapan yang mampu menyerlah di peringkat antarabangsa.

Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah berkata, ia berdasarkan kepada potensi atlet muda yang beraksi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Kita harapkan supaya kerajaan memberi perhatian dan membantu merealisasikan perkara ini, untuk kita latih atlet muda seterusnya mewakili peringkat lebih tinggi, di samping mencungkil bakat sejak sekolah rendah.

“Dengan adanya sebuah fasiliti yang lengkap, ditambah dengan kehadiran Hidilyn yang turut berlatih di sini selain kesudiannya untuk memberi tunjuk ajar, tidak mustahil kita mampu melahirkan atlet yang berjaya di peringkat Olimpik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya hasrat itu tidak mustahil memandangkan bakat yang ada, di samping persekitaran pusat latihan di negeri ini untuk melahirkan atlet sukan itu, setanding pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 Hidilyn Diaz dari Filipina.

Terdahulu beliau menerima kunjungan istimewa daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, yang meluangkan masa lebih 15 minit melihat garaj yang diubah suai di rumah milik mertua Ahmad Janius, di Kampung Kesang Tua, yang dijadikan sebagai tempat latihan atlet Filipina itu, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sejak setahun lepas.

Ahmad Janius berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti sebidang tanah di Nyalas yang dilihat sesuai untuk dibangunkan sebagai lokasi akademi, selain telah berhubung dengan Jabatan Pertanian negeri memandangkan ia di bawah seliaan pihak terbabit.

“Jadi saya harap dengan kehadiran Tun Mohd Ali Rustam ke sini, dapat dijadikan pemangkin bagi memastikan hasrat ini menjadi realiti dan itu harapan kita.

“Setelah Hidilyn buktikan dia telah mencipta sejarah memenangi emas Olimpik untuk negaranya, dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya latihan dan persekitaran di Melaka, saya beranggapan perkara ini perlu disegerakan,” katanya.

Ahmad Janius berkata, dengan kejayaan Hidilyn itu ia dilihat menjadi pembakar semangat kepada atlet muda, di samping pihak Hidilyn yang memaklumkan beliau sedia membantu untuk membangunkan akademi, selain pernah melawat Sekolah Kebangsaan Nyalas yang mempunyai program pembangunan sukan angkat berat.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban Datuk Hasan Abd Rahman yang turut mengiringi lawatan itu berkata, dalam kunjungan tersebut pihak Mohd Ali ada menyatakan untuk menyediakan sebidang tanah, untuk dibangunkan sebuah pusat latihan yang lengkap.

“Saya akan panjangkan perkara ini kepada pengetahuan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, untuk diberi perhatian. Mungkin sebidang tanah boleh diberikan untuk dijadikan lokasi latihan yang lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA