Aksi Zii Jia, Aaron Chia-Wooi Yik jadi tumpuan hari ketujuh Olimpik Tokyo

Aksi pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain perseorangan Perancis, Leverdez Brice pada perlawanan peringkat kumpulan M pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA TOKYO, July 28 -- National singles badminton player Lee Zii Jia's reaction against French singles player Leverdez Brice during Group M match at the Tokyo 2020 Olympic at Mushashino Sports Plaza today. --fotoBERNAMA (2021) COPYRIGHTS RESERVED
29/07/2021 01:26 AM

TOKYO, 28 Julai  -- Acara badminton bakal menjadi tumpuan peminat sukan tanah air pada hari ketujuh Sukan Olimpik Tokyo 2020 esok, menampilkan dua wakil negara di peringkat pusingan kalah mati.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan 16 pemain terbaik, setelah mencatat  kemenangan kedua berturut-turut selepas membenam pemain Perancis Brice Leverdez 21-17, 21-5 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Musashino Forest Sport Plaza, 

Namun, tugas berat menanti Juara All England 2021 itu yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, apabila dijadual berdepan pemain ranking keenam dunia dan pemenang pingat emas temasya edisi Rio 2016, Chen Long dari China. 

Aksi regu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menentang regu lelaki Kanada, Nyl Kiyoshi Yakura dan Jason Anthony Ho-Shue pada perlawanan peringkat kumpulan D pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza hari ini. -- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tugas sukar juga menanti beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diundi bertemu gandingan nombor satu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia pada aksi suku akhir, pagi esok.

Pasangan utama negara itu mengesahkan tiket ke suku akhir selaku Naib Juara Kumpulan D selepas menewaskan beregu Kanada, Jason Ho-Shue/Nyl Yakura 21-15, 21-13, semalam.

Dalam pada itu, cabaran pemain perseorangan wanita utama negara Soniia Cheah Su Ya di temasya sukan berkenaan berakhir selepas tumpas di tangan pemain ranking keenam dunia Ratchanok Intanon dari Thailand.

Soniia, 28, yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik dengan lawan pertamanya Laura Sarosi dari Hungary menarik diri akibat kecederaan pada aksi pembukaan Kumpulan N semalam, tumpas kepada bintang Thailand itu, 19-21, 21-18, 21-10.

Di Lapangan Memanah Yumenoshima pagi tadi, jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad beraksi cemerlang apabila mara ke pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki selepas mengharungi dua perlawanan mendebarkan .

Pemanah berusia 29 tahun itu yang menghuni ranking ke-15 dunia, terpaksa mengharungi dua saingan  “shoot-off” atau satu panahan penentuan dalam aksi penuh dramatik, apabila terikat 5-5 selepas lima set berdepan kedua-dua lawannya itu.

Khairul Anuar, bagaimanapun berdepan tugas berat pada pusingan ketiga pada Sabtu ini (31 Julai) apabila dijadual turun berdepan pemanah Korea Selatan, Kim Woojin yang berada di kedudukan keempat dalam saingan pusingan penentuan ranking, Jumaat lepas.

Pada saingan pusingan pertama pagi tadi, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu mengatasi Antti Vikstrom dari Finland sebelum meneruskan aksi bertenaga di pusingan kedua untuk mengetepikan cabaran  pemanah China, Wang Dapeng.

Pada kedua-dua aksi penentuan itu, Khairul Anuar yang terkandas pada pusingan kedua pada temasya edisi Rio 2016, melakukan panahan 10 mata maksimum, berbanding lawan beliau, masing-masing dengan sembilan mata.

Sementara itu, atlet pelayaran negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali, memulakan aksi yang mengecewakan selepas gandingan itu menamatkan saingan hari pertama acara International 470 Wanita di kedudukan tiga tercorot, hari ini.

Bagaimanapun, semangat juang tinggi Nuraisyah yang bertindak sebagai “helm” dan Juni (kru), menyaksikan mereka tetap mengharungi cabaran laut bergelora untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-18 dan ke-20, masing-masing dalam perlumbaan pertama dan kedua

Selepas dua siri perlumbaan, Nuraisyah dan Juni berada di tempat ke-19 dengan 38 mata bersih dan dijadual turun beraksi pada perlumbaan ketiga dan keempat esok.

Sementara itu, perenang kebangsaan Phee Jinq En menutup kempen Olimpik Tokyo di tempat kelapan pada saringan pertama acara 200 meter (m) kuak dada wanita, hari ini.

Pada acara berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo itu, Jinq En menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2:32.57 saat (s) sekali gus gagal memperbaiki catatan terbaiknya 2:32.38s, ketika beliau memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Jinq En, 23, juga gagal untuk layak ke pusingan berikutnya pada penampilan keduanya di Olimpik. 

Dalam pada itu, pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green akan memulakan aksi pusingan pertama acara golf individu di Kasumigaseki Country Club, esok.

Sementara atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif, pula masing-masing akan meneruskan Perlumbaan 7 dan 8 Laser Standard dan Laser Radial di Enoshima Yacht Harbour.

-- BERNAMA