Hari ketujuh Olimpik Tokyo bercampur baur bagi kontinjen Malaysia 

Aksi tangkas regu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik ketika menentang regu lelaki dari Indonesia Kevin Sanjaya Sukamuljo dan Marcus Fernaldi Gideon di pusingan penyingkiran pada temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza hari ini.
29/07/2021 11:54 PM

Daripada Elmi Rizal Elias

TOKYO, 29 Julai (Bernama) -- Dua situasi berbeza berlaku dalam kontinjen Malaysia pada hari ketujuh Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Pada sebelah pagi, kem Malaysia ceria selepas beregu utama lelaki badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengejutkan pilihan utama Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon untuk mara penuh bergaya ke separuh akhir temasya sukan terbesar dunia itu.

Pemain badminton perseorangan negara Lee Zii Jia mempamerkan perasaan kecewanya setelah tewas ketika menentang lawannya dari China, Chen Long pada pusingan penyingkiran sempena Temasya Olimpik Tokyo 2020 di Mushashino Sports Plaza

Pasangan negara yang berada di ranking kesembilan dunia menewaskan gandingan nombor satu dunia dari Indonesia itu, 21-14, 21-17 dalam masa 33 minit di Musashino Forest Sport Plaza di sini.

Aaron-Wooi Yik, yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik dan diletakkan sebagai gandingan bukan pilihan, dijadual berdepan pasangan ranking keenam dunia dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada aksi separuh akhir, petang esok.

Namun, kegembiraan kontinjen Malaysia tidak berpanjangan apabila jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang disandarkan harapan untuk meraih pingat emas pertama negara di pentas Olimpik kali ini, tersingkir di pusingan 16 terbaik.

Kredit: Jurulatih Muhammad Sahir A Rahim

Pada aksi malam ini, Zii Jia yang menampilkan aksi cemerlang pada set pertama, tumpas kepada juara bertahan Chen Long dari China 21-8, 19-21 dan 5-21.

Sementara itu, gandingan pelayar wanita negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali berjaya memperbaiki kedudukan dalam acara International 470 Wanita hari ini, apabila menduduki tangga ke-18 pada perlumbaan ketiga sebelum turun ke tempat ke-20 pada perlumbaan keempat di Enoshima Yacht Harbour.

Selepas empat perlumbaan, gandingan negara yang membuat kemunculan pertama di pentas Olimpik itu memungut 52 mata bersih manakala pelayar Poland, Agnieszka Skrzypulec-Jolanta Ogar mengungguli saingan setakat ini dengan empat mata bersih. 

Khairulnizam Mohd Afendy

Perlumbaan Kelima dan Keenam akan berlangsung esok.

Khairulnizam Mohd Afendy pula menamatkan saingan di kedudukan ke-26 pada perlumbaan ketujuh sebelum turun kepada tangga ke-28 pada perlumbaan kelapan dalam acara Laser Standard Lelaki, hari ini.

Khairulnizam kini menduduki ranking ke-27 secara keseluruhan daripada 35 pelayar dengan 153 mata bersih, menyaksikan pelayar Australia, Matt Wearn, mendahului saingan dengan 29 mata bersih selepas lapan siri perlumbaan.

Seorang lagi pelayar negara, Nur Shazrin Mohamad Latif pula berada di kedudukan ke-28 pada perlumbaan ketujuh dan terus ketinggalan apabila menamatkan cabaran di tempat ke-30 pada perlumbaan kelapan dalam acara Laser Radial wanita.

 Nur Shazrin setakat ini mengutip 163 mata bersih untuk berada di kedudukan ke-28 daripada 44 pelayar. Kedua-dua pelayar berkenaan akan meneruskan cabaran bagi mengharungi Perlumbaan Kesembilan dan ke-10, esok.

Nasib juga tidak menyebelahi kontinjen Malaysia apabila pemain golf profesional negara Gavin Green turut gagal menampilkan aksi membanggakan setelah sekadar berkongsi kedudukan ke-57 daripada 60 pemain selepas tamat pusingan pertama dalam acara yang berlangsung di Kasumigaseki Country Club. Acara tersebut tertangguh lebih dua jam berikutan cuaca buruk.

Pemain berusia 27 tahun itu berkongsi kedudukan dengan Pan Cheng-tsung dari Taiwan selepas kedua-dua mereka melakukan tiga atas par 74.

Dalam pada itu, penerjun negara Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee akan memulakan aksi di Pusat Akuatik Tokyo dalam pusingan awal acara 3m papan anjal wanita, esok.

Acara olahraga turut membuka saingan dengan dua atlet Malaysia akan turun beraksi melibatkan jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei dan Azreen Nabila Alias bagi peringkat saringan 100 meter wanita.

Hup Wei, 34, yang membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik selepas edisi Beijing 2008 dan London 2012 akan beraksi dalam pusingan kelayakan dan perlu berada dalam kelompok 12 terbaik untuk mara ke final.

Azreen Nabila, yang mempunyai catatan peribadi terbaik 11.92 saat, meraih tiket wild card untuk beraksi buat kali pertama di temasya Sukan Olimpik.

-- BERNAMA