Azreen Nabila tekad pecah rekod peribadi

30/07/2021 02:19 PM

Daripada Elmi Rizal Elias

TOKYO, 30 Julai  -- “Matlamat saya nak terus perbaharui rekod peribadi, perlahan-lahan saya cuba buat, mula dengan catatan 11.6 saat pada tahun depan, insya-Allah,” demikian reaksi pelari pecut negara Azreen Nabila Alias, selepas tamat pusingan pertama acara 100 meter pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Atlet berusia 21 tahun itu berkata, banyak pengajaran dan pengalaman diperolehnya bersaing pada temasya sukan berkenaan, yang boleh dimanfaatkan bagi memperbaiki prestasinya pada kejohanan akan datang.

Pada saringan keenam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo itu, Azreen Nabila menamatkan cabaran di tempat ketujuh dengan masa 11.91s, sekali gus gagal layak ke separuh akhir.

Pelumba Nigeria Blessing Okagbare mengungguli saingan itu dengan catatan 11.05s, manakala tempat kedua milik atlet Great Britain Asha Philip (11.31s) dan Tynia Gaither dari Bahamas di tempat ketiga dengan masa 11.34s.

Terdahulu pagi tadi, Azreen Nabila menampilkan larian bertenaga untuk mara ke pusingan pertama acara 100 meter, selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam pusingan kelayakan acara berkenaan.

Lebih membanggakan, pelari kelahiran Terengganu itu yang kali pertama beraksi di pentas Olimpik, turut memperbaharui rekod peribadi terbaiknya apabila mencatat masa 11.77s dalam saringan kedua acara berkenaan.

Catatan peribadi terbaik atlet berusia 21 tahun itu, yang meraih tiket ‘wild card’ di temasya Sukan Olimpik Tokyo adalah 11.91s, yang dicipta semasa Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi hari ini, kerana dapat lakukan catatan peribadi terbaik walaupun pada perlumbaan kedua (pusingan pertama), saya sekadar catat 11.91 saat.

“Gementar juga pada mulanya kerana kita akan berlari dengan orang lebih pantas daripada kita, tetapi saya berasa bangga dapat bersaing pada temasya berprestij ini. Saya hanya fokus kepada larian dan tidak fikir tentang pelari lain,” katanya.

Azreen Nabila juga menetapkan matlamat untuk bersaing pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Jadi, saya perlu berusaha keras dan perbaiki prestasi saya, pada beberapa kejohanan besar yang akan berlangsung tahun depan seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA,” katanya.

--  BERNAMA