Pelumba Belanda, Britain ungguli acara lumba basikal BMX

30/07/2021 03:27 PM

TOKYO, 30 Julai  -- Pelumba Belanda, Niek Kimmann memenangi emas Oimpik Tokyo dalam acara lumba basikal BMX kategori lelaki di Taman Sukan Ariake pada Jumaat.

Pada Olimpik Rio 2016, Kimmann sekadar menduduki tempat ketujuh, tetapi kali ini menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan masa 39.053 saat, mengatasi pelumba Britain Kye Whyte dengan perbezaan 0.114 saat, lapor Xinhua.

Pingat gangsa dimenangi Carlos Alberto Ramirez Yepes dari Colombia. Juara bertahan, Connor Fields dari Amerika Syarikat, tersingkir di pusingan awal.

Sementara itu, kategori wanita dimenangi atlet Britain, Bethany Shriever, menewaskan juara Olimpik dua kali, Mariana Pajon dari Colombia.

Pelumba berusia 22 tahun itu beraksi cemerlang dalam tiga pusingan peringkat separuh akhir, sekali gus memenangi emas Olimpik pertamanya dengan catatan masa 44.358 saat pada peringkat akhir.

Pajon, yang ketinggalan 0.9 saat di belakang, terlepas peluang bergelar juara.

Merel Smulders dari Belanda, meraih gangsa dengan catatan masa 44.721.

-- BERNAMA