Corat coret Temasya Sukan Olimpik 2020

31/07/2021 02:38 PM

Daripada Elmi Rizal Elias

TOKYO, 31 Julai -- Berikut adalah corat coret sempena temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, yang memasuki hari kesembilan, hari ini:

 

ATLET MALAYSIA DIHADIAHKAN JAM TANGAN EDISI TERHAD

Sebagai menghargai perjuangan dan pengorbanan atlet Malaysia dalam membawa cabaran negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menghadiahkan setiap mereka dengan jam tangan edisi terhad.

“Jam tangan edisi terhad jenama Swatch berwarna biru itu, disertakan logo MOM dan Sukan Olimpik Tokyo 2020. Pemberian jam tangan ini sebagai menghargai sumbangan dan momento kepada atlet negara yang bertanding pada temasya sukan berkenaan,” kata Pengurus Besar MOM Norhashimi Hussain.

Beliau berkata sempena temasya Sukan Olimpik Tokyo, badan induk kebangsaan itu menempah 200 jam tangan edisi terhad tersebut.

Malaysia pada temasya Olimpik kali ini diwakili 30 atlet yang beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan. 

 

TEMASYA OLIMPIK TOKYO 2020 ‘SUNYI’, TIADA PENJUALAN CENDERAMATA DI VENUE       

Pada setiap temasya sukan, selain venue yang ‘bising’ dengan sorakan penonton bagi memberi sokongan kepada negara masing-masing, di kawasan luar gelanggang sukan turut menjadi tumpuan.

‘Aksi’ di luar stadium selalunya meriah bukan sahaja dalam kalangan penonton, malah turut disertai atlet, pegawai, mahupun petugas media, bagi mendapatkan ‘buah tangan’ untuk dibawa pulang ke negara masing-masing sempena temasya sukan.

Namun, memasuki hari kesembilan Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung hari ini, tiada jualan cenderamata di venue-venue pertandingan, seperti mana ketika penganjuran temasya sukan sebelum ini, kecuali di Pusat Media Utama dan Muzium Olimpik Jepun, yang terletak berhampiran Stadium Olimpik Tokyo, venue berlangsungnya acara olahraga serta majlis pembukaan dan penutup.

Suasana ‘sunyi’ tanpa penjualan cenderamata temasya sukan itu mungkin susulan keputusan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020, tidak membenarkan kehadiran penonton di venue pertandingan berikutan penularan COVID-19.

 

MASKOT SUKAN OLIMPIK TOKYO 2020 ‘LENYAP’

Selepas membuat ‘kemunculan’ pada majlis pembukaan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai lepas, kelibat maskot rasmi temasya sukan berkenaan terus ‘lenyap’.

Pada kebiasaannya, setiap temasya sukan yang mempertandingkan pelbagai acara, maskot adalah ‘penyeri’ di setiap venue pertandingan dengan gelagat mereka bagi menceriakan atlet, pegawai dan juga penonton.

Diberi nama Miraitowa dan Someity, masing-masing bagi Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo, kelibat kedua-dua maskot berkenaan, bagaimanapun tidak kelihatan di mana-mana venue pertandingan yang memasuki hari kesembilan hari ini.

Ketiadaan maskot berkenaan boleh dimengertikan, mungkin berikutan keputusan jawatankuasa penganjur temasya sukan itu yang mahu temasya sukan berkenaan hanya tertumpu kepada pertandingan dan bukannya ‘perkara’ lain, berikutan masih berlaku penularan pandemik COVID-19. 

Sukan Olimpik Tokyo 2020 berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos, manakala Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dijadualkan pada 24 Ogos hingga 5 Sept.

-- BERNAMA