Penembak wanita negara kandas di pusingan kelayakan

Atlet penembak negara Nur Suryani Mohamed Taibi ketika beraksi dalam acara 50m 'Rifle 3 Positions' peringkat saringan lapan terbaik pada Olimpik Tokyo 2020 di Lapang Sasar Asaka hari ini.
31/07/2021 03:15 PM

TOKYO, 31 Julai -- Cabaran penembak wanita negara Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 50 meter (m) Rifle 3 Posisi Wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tamat di pusingan kelayakan selepas menamatkan saingan di tempat ke-34 pada aksi di Lapangan Menembak Asaka, hari ini.

Nur Suryani, 38, hanya berjaya mengumpul 1,142 mata dalam keseluruhan bidikannya, namun ia jauh daripada catatan terbaiknya yang juga rekod kebangsaan iaitu 1,172 mata dan rekod tidak rasmi 1,182 mata yang dilakukan pada sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Tokyo.

Pemenang pingat emas Kejohanan Eropah yang mewakili Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC) Yulia Zykova mengungguli saingan dengan 1,182 mata.

Penembak Amerika Syarikat (USA) berusia 27 tahun, Sagen Maddalena di tempat kedua berkongsi mata 1,178 mata bersama Jolyn Beer dari Jerman yang merangkul tiga pingat emas di Kejohanan Dunia 2018 di Changwon, Korea Selatan, di kedudukan ketiga.

Hanya lapan penembak terbaik daripada keseluruhan 37 peserta layak ke peringkat akhir, seterusnya akan bersaing untuk merebut pingat emas.

Sukan Olimpik Tokyo menjadi penampilan kedua Nur Suryani di temasya sukan berprestij itu selepas mencuri tumpuan peminat sukan global pada edisi London 2012, apabila bertanding dalam acara 10m Air Rifle Wanita, meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.

Nur Suryani, menjadi atlet pilihan Persatuan Kebangsaan Menembak Malaysia (NSAM) yang diberikan satu slot wild card bagi sukan menembak di Tokyo berdasarkan prestasinya yang konsisten.

-- BERNAMA