Dua catatan bawah 12 saat Azreen Nabila di Tokyo membanggakan

Pelari pecut wanita negara Azreen Nabila Alias menampilkan larian bertenaga untuk mara ke pusingan pertama acara 100 meter selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam pusingan kelayakan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, pagi ini.
31/07/2021 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai -- Dua catatan masa di bawah 12 saat (s) termasuk satu rekod peribadi terbaik 11.77s dicipta atlet muda negara Azreen Nabila Alias dalam acara 100 meter (m) wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020 boleh dianggap pencapaian yang membanggakan.

Beraksi di Tokyo tanpa ditemani jurulatihnya, Azreen Nabila, 21, turut bersaing di pentas Olimpik pertamanya itu dengan ketiadaan sebarang pendedahan di kejohanan antarabangsa, di samping hanya mempunyai tempoh tiga minggu untuk membuat persediaan.

Namun atlet kelahiran Terengganu itu membuktikan pemilihannya ke Tokyo tepat selepas mencipta sensasi tersendiri di Stadium Olimpik Tokyo dengan mencatat masa 11.77s dan 11.91s masing-masing dalam pusingan kelayakan dan pusingan pertama.

Lebih membanggakan, catatan 11.77s itu mengatasi rekod terbaik 11.81s dicipta pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak, sekali gus membolehkan beliau tersenyum puas.

"Dengan mengambil kira dia (Azreen Nabila) dapat tahu pergi ke Tokyo pada saat akhir, persediaan yang sempat dilakukan dan masa yang dicipta di Tokyo, bagi saya itu satu catatan yang baik," kata bekas raja pecut negara dan Asia Tenggara Nazmizan Muhammad kepada Bernama, hari ini.

Pada saingan yang berlangsung semalam, Azreen Nabila menampilkan larian bertenaga untuk mengakhiri saringan kedua pusingan kelayakan di tempat kedua sebelum mara ke pusingan pertama yang menyaksikan beliau menamatkan saingan itu di kedudukan terakhir.

Sementara itu, Nazmizan yang juga pemenang pingat emas 100m dan 200m Sukan SEA 2003 Hanoi itu percaya Azreen Nabila mampu mencipta masa larian lebih pantas selepas ini, malah tidak terkejut jika atlet kelahiran Terengganu itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada masa hadapan.

Jelasnya, Olahragawati Sukma 2018 itu hanya perlu diberikan lebih banyak pendedahan bersaing di kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan prestasi keseluruhan, termasuk dari aspek mengawal tahap tekanan ketika bertanding.

"Pada pusingan pertama dia (Azreen Nabila) sudah berlari bersama jaguh handalan dunia, sudah pasti perasaan berdebar itu timbul dan ia sedikit sebanyak akan mengganggu fokus. Tetapi itulah ‘turning point’, dia belajar sesuatu yang baru di Tokyo," tambah Nazmizan.

Catatan terbaik Azreen Nabila musim ini adalah 12.00s yang dilakukan pada April lepas, selepas mencipta kejutan menewaskan nama besar antaranya S. Komalam Shally dari Perak dan atlet Johor Siti Fatimah Mohamad untuk merangkul emas 100m pecut Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia.

Menyedari ketidaktentuan pandemik COVID-19 mungkin terus menjadi penghalang buat barisan atlet negara menyertai kejohanan luar negara, Nazmizan berharap momentum cemerlang Azreen Nabila itu dapat dikekalkan menerusi beberapa kejohanan dalaman atau berlatih bersama-sama atlet pecut lelaki.

"G.Shanti satu ketika dulu pernah meminta untuk berlatih bersama atlet pelapis lelaki... bagi saya, mungkin Azreen juga perlukan seorang ‘sparring partner’ untuk dia berlari lebih pantas," katanya.

Shanti merupakan bekas ratu pecut negara yang memegang rekod kebangsaan 100m Wanita dengan catatan masa 11.50s yang dicipta pada Pra-Sukan SEA di Kuala Lumpur pada 1993.

-- BERNAMA