Gavin di kedudukan ke-58 hari ketiga acara golf Sukan Olimpik Tokyo

31/07/2021 06:48 PM

TOKYO, 31 Julai -- Pemain golf utama negara Gavin Green menunjukkan peningkatan pada hari ketiga acara golf di Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila melakukan satu di bawah 70, namun masih belum cukup untuk melonjak kedudukannya di Kasumigaseki Country Club.

Atlet berusia 27 tahun itu melakukan lima birdie dan empat bogey hari ini, selepas melakukan tiga di atas 74 dan satu di atas 72 dalam dua pusingan awal, berkongsi kedudukan ke-58 bersama atlet dari Puerto Rico Rafael Campos (73-73-70) dengan tiga di atas 216.

Pendahulu pusingan Xander Schauffele dari Amerika Syarikat kekal mendahului permainan melibatkan 60 pemain dengan kelebihan satu pukulan di hadapan pemain tuan rumah Hideki Matsuyama.

Xander, juara empat kali Jelajah PGA (Persatuan Pemain Golf Profesional) melakukan tiga di bawah 68 untuk mendahului dengan 14 di bawah 199, diikuti Matsuyama dengan 13 di bawah 200 manakala Paul Casey dari Great Britain dan Carlos Ortiz dari Mexico turut kekal dalam pemburuan pingat emas dengan 12 di bawah 201.

Pusingan akhir dijadual berlangsung 7.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) Ahad (1 Ogos).

Pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Gavin menamatkan saingan di tempat ke-47 apabila golf kembali dipertandingkan di pentas Olimpik selepas 112 tahun tidak disenaraikan.

-- BERNAMA