Perenang AS Dressel pecah rekod dunia 100m kuak kupu-kupu

Caeleb Dressel (Gambar: -/YNA/dpa)
31/07/2021 07:00 PM

ANKARA, 31 Julai -- Atlet Amerika Syarikat, Caeleb Dressel, mencipta rekod baharu apabila meraih emas acara renang 100 meter (m) kuak kupu-kupu pada Sabtu, pingat emas ketiga buat dirinya di Olimpik Tokyo.

Beliau merakamkan catatan masa baharu iaitu 49.45 saat, memecahkan rekod dunia yang dicatat beliau sebelum ini iaitu 49.50 saat serta memadam rekod Olimpik 49.71 saat.

Menurut Agensi Anadolu, Dressel, 24, memenangi emas pertama Olimpik Tokyo untuk dirinya menerusi acara 4x100m gaya bebas berganti-ganti pada 26 Julai lalu.

Tiga hari kemudian, dia menggondol emas kedua dalam acara 100m gaya bebas individu apabila mencatatkan 47.02 saat sekali gus memecahkan rekod 47.05 saat yang dicatat atlet Australia, Eamon Sullivan pada 2008.

Atlet Amerika itu akan memburu emas keempatnya dalam acara renang 50m gaya bebas pada Ahad.

-- BERNAMA