Azizul, anda juara sebenar bagi rakyat Malaysia - Muhyiddin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika sidang video bersama Datuk Azizulhasni Awang, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas saingan peringkat akhir acara keirin basikal trek Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
08/08/2021 10:16 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Datuk Mohd Azizulhasni Awang sebagai juara sebenar bagi rakyat Malaysia, walaupun terlepas pingat emas acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Beliau berkata seluruh rakyat bangga dengan pencapaian Mohd Azizulhasni yang menunjukkan semangat juang tinggi pada aksi final di Velodrome Izu, pagi tadi untuk mengatasi juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda.

Menerusi sidang video bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang berada di Tokyo, Muhyiddin turut optimis impian pingat emas pertama negara dapat direalisasikan di temasya Paris 2024.

“Awak (Azizul) berjaya mengatasi juara dunia dari Belanda yang patut gold medallist (pemenang emas), itu merupakan satu bukti (awak mampu) tundukkan jaguh dari Great Britain (Jason Kenny), you’re the real champion for us in Malaysia (awak adalah jaguh sebenar untuk kami di Malaysia).

“Jadi saya nak ucapkan tahniah dan terima kasih pada segala pengorbanan Azizul dan rakan-rakan lain. Ini pencapaian yang cukup membanggakan, off course the next Olympics, I pray that we should get first gold for Malaysia and it must come from keirin, Insya Allah, (sudah tentu, dalam Olimpik seterusnya saya berdoa kita dapat emas pertama untuk Malaysia dan ia mesti datang daripada acara keirin) ,” katanya dalam sidang video kira-kira lapan minit itu.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Azizulhasni yang baru hari ini menerima berita bahawa isterinya hamil cahaya mata ketiga, selain bertanya khabar mengenai ayahnya yang kurang sihat.

Muhyiddin juga sempat bertanya khabar mengenai kecederaan yang dialami oleh Muhammad Shah Firdaus, yang berasal dari Muar ketika sesi itu, selain mendapat penjelasan daripada Reezal Merican.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni berkata beliau sedikit terkilan kerana tidak dapat meraih emas keirin akibat sedikit kesilapan taktikal yang didakwa berpunca daripada tindakan pelumba Australia, Matthew Glaetzer yang berada di hadapan kelompok pelumba lain tidak memecut dan membiarkan Jason memecut awal.

“Saya pun tak tahu kenapa dia buat macam itu, so susah (jadi sukar) nak kejar...tapi itu lah, dalam acara keirin ini anything can happen (macam-macam boleh terjadi), saya hanya bersyukur dengan Allah SWT, kita dapat silver (perak) kali ini,” katanya kepada Perdana Menteri sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat atas sokongan yang diberikan.

Pada aksi final yang berlangsung sengit hari ini, penyandang juara Kenny mengesahkan pingat emas untuk mengekalkan gelarannya, sekali gus memecahkan rekod enam pingat emas legenda berbasikal trek Britain Chris Hoy.

Mohd Azizulhasni melintasi garis penamat untuk pingat perak manakala Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.

-- BERNAMA