Wooi Yik harap Jin Wei berjaya dalam bidang lain

Goh Jin Wei
13/09/2021 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept  -- Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Soh Wooi Yik berharap rakan sepasukannya, Goh Jin Wei akan berjaya dalam bidang lain selepas mengumumkan persaraan daripada arena badminton pagi ini.

Wooi Yik berkata walaupun keputusan bekas Juara Dunia Remaja itu mengejutkan ramai pihak, perkara itu mungkin sudah difikirkan dengan teliti dan lama oleh Jin Wei, 21, berikutan masalah kesihatan menyebabkan beliau mengurangkan pengambilan makanan dan menyukarkannya ketika latihan. 

"Saya sudah lama mengenali Jin Wei, dan sangat bersimpati dengan keadaan yang perlu ditempuhinya setiap hari semasa menjalani latihan. Beliau memang kena makan ubat setiap hari dan kalau makan ubat, beliau tidak boleh makan banyak menyebabkannya tiada tenaga.

“Keadaan akan menjadi lebih teruk semasa kejohanan. Sebagai seorang atlet, kesihatan dan kecederaan menjadi sebahagian daripada kehidupan, tapi ini keputusan yang beliau buat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif Wilayah Persekutuan di Menara DBKL di sini, hari ini.

Terdahulu, Jin Wei mengejutkan peminat badminton tanah air apabila mengumumkan persaraannya sebagai pemain perseorangan wanita negara kerana masih bergelut dengan tahap kesihatan selepas mengalami masalah di bahagian perut sehingga menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian usus pada pertengahan 2019.

Jin Wei merupakan satu-satunya pemain negara yang berjaya menjuarai Piala Dunia Remaja sebanyak dua kali, iaitu pada edisi di Lima 2015 (Peru) dan Markham 2018 (Kanada), selain turut memenangi pingat emas Sukan Olimpik Remaja Buenos Aires 2018 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Terdahulu, Wooi Yik menerima insentif wang tunai berjumlah RM50,000 daripada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim atas kejayaan meraih gangsa Olimpik bersama gandingannya Aaron Chia baru-baru ini.

Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik menerima imbuhan berjumlah RM120,000 daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan RM60,000 daripada 100Plus di atas pencapaian tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai sasaran suku akhir bagi kejohanan Piala Thomas di Aarhus, Denmark dari 9 hingga17 Okt ini, Wooi Yik berkata ia mampu direalisasikan jika semua pemain beraksi tanpa tekanan dan berjuang berhabis-habisan.

“Walaupun Malaysia hantar pasukan muda, kita dikira sebagai underdog (bukan pilihan) seperti situasi saya dan Aaron di Olimpik. Jadi tekanan itu lebih kepada pemain utama, kami hanya bermain (tanpa banyak tekanan), siapa yang mampu kawal tekanan, beraksi dengan tenang dia akan menyerlah,” katanya.

-- BERNAMA