Bekas juara Olimpik Rexy kembali ke BAM sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan

Rexy Mainaky (kiri)
25/10/2021 10:00 PM

KUALA LUMPUR, 25 Okt  -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melantik bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik Atlanta Rexy Mainaky sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan.

BAM dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa bekas pemain beregu lelaki Indonesia itu akan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di Bukit Kiara pada 1 Dis, dan akan bekerja bersama Pengarah Kejurulatihan Wong Choong Hann.

Pakar beregu berusia 53 tahun itu diberikan tugas untuk menambah input teknikal kepada indeks prestasi dan akan secara khususnya menjaga pemain beregu dalam skuad kebangsaan dalam melihat dan meningkatkan lagi prestasi pemain beregu negara.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata pelantikan itu adalah sejajar dengan mempertingkatkan lagi progres yang telah dilakukan BAM sejak beberapa tahun ini dalam usahanya mencapai kejayaan.

“Rexy merupakan seorang jurulatih berpengalaman dan rekod perkhidmatan yang bagus. Beliau akan diberikan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) khusus untuk menggiatkan dan terus meningkatkan motivasi pemain beregu muda negara.

“Saya teruja untuk melihat sumbangan yang akan beliau lakukan dalam meningkatkan lagi prestasi pasukan bersama Choong Hann dan keseluruhan kakitangan kejurulatihan pada ketika kita membina masa hadapan yang lebih kuat untuk badminton Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rexy yang merupakan ketua jurulatih Persatuan Badminton Thailand (BAT) sejak 2017, sebelum ini merupakan jurulatih pasangan beregu negara di BAM.

Ketika zaman kegemilangannya, Rexy bersama Ricky Subagja menjuarai Kejuaraan Dunia 1995 dan gelaran Olimpik 2016, selain memenangi tiga pingat emas Piala Dunia dan gelaran empat kali Piala Thomas antara 1994 hingga 2000.

-- BERNAMA