ISTAF mohon Thailand serap sepak takraw dalam jawatankuasa 'Road to Olympics'

Datuk Abdul Halim Kader
17/05/2022 09:37 PM

Daripada Elmi Rizal Elias

HANOI, 17 Mei (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) akan memohon kepada kerajaan Thailand untuk memasukkan sepak takraw dalam Jawatankuasa Kebangsaan Road to Olympics negara berkenaan, dalam misi membawa sukan itu ke temasya Olimpik.

Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader berkata menerusi jawatankuasa tersebut akan memberi laluan kepada ISTAF yang kini di peringkat mendapatkan pengiktirafan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk sukan itu.

“ISTAF memohon sepak takraw dimasukkan dalam jawatankuasa kebangsaan ini yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Thailand Jeneral Prawit Wongsuwan yang juga Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Thailand," kata Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), ketika ditemui di Gimnasium Hoang Mai di sini hari ini.

Acara sepak takraw Sukan SEA ke-31 berlangsung di venue berkenaan.

Abdul Halim berkata ISTAF percaya Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) dan ASTAF boleh bekerjasama dengan Lembaga Sukan Thailand (SAT) bagi mencapai misi tersebut.

"Kita juga bekerjasama rapat dengan Persatuan Global Persekutuan Sukan Antarabangsa (GAISF) dan Perikatan Ahli Sukan Yang Diikitiraf Bebas dengan sokongan Stephan Fox, Presiden AIMS dan Naib Presiden GAISF," katanya.

Bagi memastikan sepak takraw mendapat pengiktirafan IOC, Abdul Halim berkata pelbagai program bersepadu perlu dilakukan, antaranya menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Wanita sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut dan Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Belia Bawah 21 Tahun.

Beliau berkata ISTAF telah menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia sejak 10 tahun lepas.

“Kejohanan bawah 21 tahun ini dijangka dianjurkan di Malaysia pada Mei tahun depan. Selepas berakhir Sukan SEA di sini, kita akan menandatangani kontrak dengan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) di Kuala Lumpur bagi penganjuran kejohanan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata ISTAF juga sedang giat mempromosi sepak takraw di seluruh dunia dan antara kriteria bagi mendapatkan pengiktirafan IOC adalah badan induk itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya 50 ahli gabungan.

Abdul Halim berkata pada masa ini, sebanyak 53 persatuan sepak takraw kebangsaan sudah bernaung di bawah ISTAF dan terbaru Persatuan Sepaktakraw Ghana.

Sementara itu, beliau berkata ISTAF sudah mendapat kelulusan daripada IOC untuk menyiarkan semua kejohanan sepak takraw antarabangsa di Olympic Channel, bagi mempromosi sukan berkenaan di peringkat dunia.

Sebagai permulaan, katanya, ISTAF akan menyiarkan Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok dari 23 hingga 31 Julai ini di saluran seliaan IOC itu.

-- BERNAMA