Prestasi atlet taekwondo kian meningkat, TM harap status sukan teras dikembalikan

(Gambar fail)
24/05/2022 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Taekwondo Malaysia (TM) berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menilai semula status sukan taekwondo disingkirkan daripada sukan teras negara, berikutan prestasi cemerlang dipamerkan oleh atlet sukan berkenaan.

Presiden TM, Azizul Annuar Adenan menerusi kenyataan berkata pihak persatuan itu seharusnya diberi ruang, untuk berbincang mengenai pengguguran berkenaan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), untuk mengembalikan sukan taekwondo sebagai sukan teras.

“Atlet-atlet taekwondo yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia di Goyang, Korea pada Mei lalu dengan meraih satu perak dan dua gangsa, justeru mencipta sejarah baru untuk Malaysia dalam sukan taekwondo Poomsae.

“Sukan SEA, Hanoi pula, negara telah berjaya mencapai satu pingat emas, satu perak, dan tiga gangsa. Menurut rekod, pencapaian pingat emas dalam sukan taekwondo Kyorugi ini merupakan pingat emas pertama di luar Malaysia sejak 17 tahun yang lepas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pengguguran sukan taekwondo daripada sukan teras yang sebelum ini diumumkan pada 12 Dis 2017 itu, adalah tanpa sebarang notis atau surat rasmi kepada pihaknya.

Sementara itu, Setiausaha Agung TM, R. Dhanaraj berkata keputusan pengguguran status sukan taekwondo memberi impak bukan sahaja kepada atlet, malah turut menjejaskan jurulatih yang telah ditamatkan kontrak serta-merta.

Dhanaraj yang juga merupakan ketua jurulatih kebangsaan taekwondo itu berkata kemudahan selain perkhidmatan MSN dan ISN, turut telah dihadkan kepada atlet susulan status sukan berkenaan yang tidak lagi menjadi sukan teras negara.

“Lebih-lebih lagi program-program pembangunan atlet remaja di peringkat kebangsaan dan negeri tidak dilaksanakan buat masa ini.

Situasi ini bukan sahaja mengancam pembangunan atlet remaja, tetapi memutuskan semangat atlet dan jurulatih, serta membebankan TM untuk mendapatkan bantuan penajaan bagi kemajuan dan pencapaian meraih pingat emas Olimpik yang pertama melalui sukan taekwondo,” katanya.

-- BERNAMA