Sembilan pemain bawa cabaran negara di Kejohanan Hoki 5s Lausanne

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)
28/05/2022 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama)  -- Sembilan pemain skuad hoki negara bakal membawa cabaran dalam Kejohanan FIH Hoki 5s Lausanne 2022, yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Switzerland, pada 4 hingga 6 Jun ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi kenyataan memaklumkan, FIH mengundang skuad negara untuk beraksi pada kejohanan itu selepas melihat pencapaian Malaysia merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik Remaja 2018 di Argentina dan pembangunan Hoki 5’s di Malaysia sebelum ini. 

Dalam aksi disertai lima pasukan itu, KHM memaklumkan Malaysia bakal berentap menentang tuan rumah Switzerland dan Poland pada 4 Jun, manakala Pakistan dan India pada 5 Jun.

Perlawanan yang dilangsungkan secara ‘round robin’ itu, menyaksikan hanya dua pasukan teratas akan beraksi di pentas final pada 6 Jun.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Hoki 5s negara Megat Azrafiq Megat Termizi berkata setakat ini pihaknya  tidak mahu meletakkan sebarang sasaran tinggi, meskipun Malaysia dilihat sebagai salah satu pasukan pilihan serta mahu menumpukan satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Dari segi sasaran, kita akan cuba tamatkan kejohanan di kedudukan sebaik mungkin. Kita akan cuba untuk memastikan setiap perlawanan akan berakhir dengan tiga mata,” katanya.

Megat Azrafiq berkata, skuad negara bakal tiba di Switzerland pada petang 2 Jun, dan tiada sebarang perlawanan persahabatan akan dijalankan sebelum bertemu perlawanan sebenar. 

Menurutnya, pasukan negara bagaimanapun akan menjalani dua sesi latihan sebelum kejohanan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang terlebih dahulu.

Jelasnya, ini kerana padang yang digunakan bagi kejohanan ini merupakan padang kering yang tidak akan disiram air seperti padang hoki biasa.

Kategori wanita pula menyaksikan persaingan di antara Poland, Switzerland, India, Uruguay dan Afrika Selatan, dalam merebut gelaran juara sulung kejohanan tersebut.

 Berikut merupakan senarai sembilan pemain yang akan menggalas tugas negara di Kejohanan FIH Hoki 5’s Lausanne 2022:

 

No

Senarai nama

1

Alfarico Lance Liau Jr

2

Mohamad Akhimullah Bin Anuar Esook

3

Nabil Fiqri Bin Mohd Nor

4

Muhammad Amirul Haniff Bin Mamat

5

Che Shahrul Azmi Bin Che Saupi

6

Muhammad Kamarulzaman Bin Kamaruddin

7

Muhammad Faris Bin Harizan

8

Muhammad Muhibuddin Bin Moharam

9

Muhammad Noor Firdaus Bin Rosdi

 

-- BERNAMA