Gabungan ISTAF berhak sertai acara campuran pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke 35 - ISTAF

29/05/2022 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Gabungan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di setiap negara berhak untuk memilih sama ada untuk menyertai acara campuran atau tidak pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 yang dijadual berlangsung pada 23-31 Julai ini.

Setiausaha Agungnya Abdul Halim Kader berkata beliau tidak akan mempertikaikan sebarang isu batasan agama yang ditimbulkan oleh seorang ahli parti politik berkaitan pergaulan lelaki dan wanita kerana menyedari sensitivitinya.

"Pengenalan acara campuran ini sebenarnya telah beberapa bulan lepas (sebelum Sukan SEA Vietnam yang berakhir Isnin lepas) dimaklumkan kepada semua negara ahli gabungan ISTAF.

"Mereka termasuk negara-negara Islam seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Iran, Iraq, Afghanistan dan Pakistan serta Oman,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan ISTAF hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu yang ditimbulkan oleh Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda PAS, Faizuddin Zai yang menggesa pasukan negara memulaukan Piala Raja Thailand jika acara itu turut dipertandingkan pada 25 Mei lepas.

Justeru Abdul Halim memaklumkan ISTAF turut memberi kebebasan kepada ahli gabungannya memilih untuk menyertai acara beregu campuran atau kuadran campuran dan tidak boleh kedua-duanya dalam kejohanan berkenaan.

“Dalam hal berkaitan acara regu campuran, ISTAF juga amat mengalu-alukan penyertaan semua negara anggota tanpa ada isu paksaan untuk menyertainya. ISTAF amat memahami kekangan dan soal batasan budaya melibatkan penyertaan beberapa buah negara anggotanya,” katanya.

Beliau berkata pengenalan acara regu campuran sepak takraw bakal mendapat sambutan dari negara anggota ISTAF dan tidak melibatkan sentuhan fizikal pemain, malahan kelonggaran untuk menutup aurat bagi wanita tetap diberi keutamaan.

Beliau memaklumkan ISTAF sedang dalam usaha menyelaraskan sepak takraw dengan perkembangan sukan lain yang bertapak di Sukan Olimpik, dengan hasrat membawa sukan itu ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dengan bantuan semua negara anggota termasuk Malaysia.

-- BERNAMA