Sukan Komanwel: BAM sasar emas perseorangan lelaki, berpasukan campuran

Dr Tim Jones (Kredit: BAM)
15/06/2022 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Acara perseorangan lelaki dan berpasukan campuran menjadi pertaruhan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mencapai sasaran dua emas yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, bulan depan.

Meskipun kedua-dua acara tersebut akan menjadi fokus utama, Pengarah Prestasi Tinggi BAM Dr Tim Jones tetap berharap pemain dalam kategori lain akan menyumbang sekurang-kurangnya satu perak di temasya itu.

“Justeru, kami perlu mempamerkan aksi terbaik untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, pengarah kejurulatihan beregu Rexy Mainaky berkata pihaknya hanya mahu membawa pemain terbaik ke Birmingham.

Jaguh perseorangan Lee Zii Jia pastinya diharapkan untuk menyumbang emas dan pemain ranking kelima dunia itu juga mampu mengetuai cabaran Malaysia untuk merebut emas dalam acara berpasukan campuran daripada juara bertahan India.

Selain Zii Jia, pasukan kebangsaan patut menurunkan pemenang gangsa Sukan Tokyo Olimpik 2020 beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita nombor 10 dunia Pearly Tan-M.Thinaah untuk memberikan saingan padu di Birmingham.

Semalam presiden MOM  Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan sasaran tujuh pingat emas pada temasya sukan tersebut bagi menyamai pencapaian pada edisi lepas di Gold Coast, Australia.

Badminton disasarkan untuk membawa pulang dua emas, manakala gimrama, boling padang, angkat berat, skuasy dan powerlifting, masing-masing diharapkan untuk meraih sebutir emas.

Sukan Komanwel 2022 dijadualkan pada 28 Julai hingga 8 Ogos depan.

-- BERNAMA