Terbuka Malaysia: Kjaersfeldt singkirkan Marin

Line Hojmark Kjaersfeldt
30/06/2022 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pemain perseorangan wanita Denmark Line Hojmark Kjaersfeldt mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menewaskan juara dunia tiga kali Carolina Marin dari Sepanyol pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022 hari ini.

Pencapaian mengatasi bekas juara Olimpik itu adalah yang pertama selepas 10 pertemuan menyaksikan Kjaersfeldt tewas kepada Marin.

Namun, perlawanan di Arena Axiata hari ini tidak semudah disangka apabila pemain berusia 28 tahun itu terpaksa berhempas pulas dalam aksi selama 74 minit sebelum berjaya menjinakkan Marin 21-19, 19-21, 21-13 untuk melangkah ke suku akhir.

Pemain berasal dari Aarhus itu berkata ia adalah pencapaian terbaik sepanjang kariernya dan berpuas hati kerana strategi digunakan membuahkan hasil untuk dirinya.

“Saya tahu Marin baru sahaja kembali beraksi dan belum pulih sepenuhnya, dan saya berjaya memanfaat peluang itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Marin, pemain Eropah pertama meraih pingat emas di pentas Olimpik dalam acara badminton pada edisi 2016 tidak dapat mempertahankan pingat emasnya apabila mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) di lutut kirinya sebulan sebelum temasya di Tokyo.

Pemain di ranking kelima dunia itu mengalami kecederaan sama di lutut kanan pada aksi final Masters Indonesia 2019 dan memerlukan lapan bulan untuk kembali pulih, dan memenangi gelaran keenam Kejohanan Eropah pada April lepas.

Sementara itu, Kjaersfeldt yang juga pemenang tempat ketiga Kejohanan Eropah mengakui persaingan dalam kategori perseorangan wanita semakin sengit berikutan kebangkitan begitu ramai pemain berkualiti sejak kebelakangan ini.

Pada saingan suku akhir esok, Kjaersfeldt dijadual berdepan jaguh Asia Wang Zhi Yi selepas pemain dari China itu menyingkirkan Gregoria Mariska Tunjung dari Indonesia 21-19, 21-13.

-- BERNAMA