Kuhan bantu Speedy Tigers selaku penasihat pukulan sudut penalti

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM)
29/01/2023 08:44 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menamakan bekas kapten skuad negara S Kuhan sebagai penasihat pukulan sudut penalti untuk pasukan kebangsaan. 

Tidak sekadar berkongsi pengetahuan dengan pemain, Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata Kuhan yang berkhidmat secara sambilan juga akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan KHM Datuk Ahmad Najmi Razak untuk mendapatkan bekas pemain terkemuka antarabangsa bagi menyelesaikan masalah pukulan sudut penalti yang membelenggu skuad negara. 

“Selaku seorang bekas pakar pukulan sudut penalti Malaysia, Kuhan sudah bersetuju untuk membantu bukan sahaja skuad lelaki dan wanita kebangsaan tetapi juga pasukan remaja selain diberikan tugas untuk mencari penyelesaian dan bagaimana untuk mendapatkan khidmat pakar antarabangsa untuk membantu kami.

Kami sudah melakukan libat urus dengan seorang dua pemain hoki legenda yang mewakili dan membantu negara masing-masing memenangi pingat Sukan Olimpik dan Piala Dunia, untuk membantu kami secara sambilan,” beliau memberitahu satu sidang media pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif KHM di sini hari ini.  

Walaupun menyedari kadar penyempurnaan pukulan sudut penalti Speedy Tigers yang rendah semasa Piala Dunia 2023 di India, beliau berpandangan pasukan lain juga bergelut untuk melakukan jaringan dalam keadaan itu.

Berdasarkan perangkaan FIH, skuad bimbingan A  Arul Selvaraj hanya menjaringkan empat gol daripada 29 pukulan sudut penalti yang diberikan kepada Malaysia sepanjang enam perlawanan mereka dalam kejohanan itu. 

Malaysia menewaskan Jepun 3-2 dalam perlawanan menentukan tempat ke-13 dan ke-16 dan berjaya mendapatkan tempat ke-13, lebih baik daripada tempat ke-15 yang diperoleh dalam edisi 2018, juga berlangsung di India. 

Pada masa sama, Subahan menafikan hantaran di media sosial, Twitter bahawa Ketua Pegawai Eksekutif KHM  Norfaraha Hashim telah meletakkan jawatannya.

Sebaliknya, beliau berkata KHM tidak melanjutkan kontrak Norfaraha yang tamat pada 31 Dis lepas.

“Memandangkan Malaysia akan menyertai Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 Disember ini, kami memerlukan seseorang yang berpengetahuan dalam hoki untuk memastikan ia berjalan lancar selain boleh mencari dana untuk menampung KHM,” kata Subahan sambil mengucapkan terima kasih kepada Norfaraha atas komitmen beliau kepada konfederasi sukan itu sebelum ini. 

Beliau juga memaklumkan KHM telah menerima peletakan jawatan Prof Datuk Dr S Shamala sebagai timbalan presiden Jumaat lepas dan ia terhutang budi dengan dedikasi wanita itu kepada konfederasi dan pembangunan sukan hoki negara.

Menyatakan faktor kesihatan sebagai sebab utama beliau mengundur diri daripada jawatan yang disandang sejak 2015, Shamala telah berkhidmat kepada sukan hoki negara lebih dari dua dekad dalam pelbagai kapasiti, termasuk selaku Timbalan Presiden Kanan  KHM dan Setiausaha Persatuan Hoki Wanita Malaysia.

-- BERNAMA