Sukan SEA: Erry, Hafiz taruhan pingat di Kemboja

Muhammad Erry Hidayat (kiri) dan Muhammad Hafiz Shamsuddin - Gambar fail
30/01/2023 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) meletakkan sasaran awal kepada Muhammad Erry Hidayat dan Muhammad Hafiz Shamsuddin untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Mei depan.

Naib Presiden PABM Amirul Hamizan Ibrahim berkata pihaknya berharap kedua-dua pemenang pingat pada Sukan SEA 2021 itu mampu menghadiahkan pingat buat kontinjen negara pada temasya dwitahunan tersebut.

Pada Sukan SEA 2021, Muhammad Erry meraih gangsa bagi kategori 73 kilogram (kg) manakala Muhammad Hafiz turut menyumbang gangsa menerusi acara atas 89kg.

Amirul juga berkata PABM telah mencadangkan lima hingga enam muka baharu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk dipertimbangkan diserap ke dalam program latihan Sukan SEA 2023. 

“Insya-Allah hujung bulan depan kami akan mula ambil pengambilan baharu ke dalam program Sukan SEA 2023,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK) bersama MSN di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirul berkata dua juara Sukan Komanwel 2022 Birmingham iaitu Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Aznil Bidin perlu berada dalam kelompok 12 terbaik pada kempen kelayakan untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagi tahun ini, beliau berkata kedua-dua badang negara itu dijangka beraksi pada tiga kempen kelayakan Sukan Olimpik 2024 iaitu Kejohanan Asia 2023 di Juanju, Korea Selatan pada 3 hingga 13 Mei diikuti International Weighlifting Federation (IWF) Grand Prix di Havana, Cuba (2-12 Jun) dan Kejohanan Dunia IWF di Riyadh, Arab Saudi (2-17 Sept).

Bekas juara Sukan Komanwel 2002 itu juga memaklumkan Mohamad Aniq akan bertukar kategori dari 55kg ke 61kg untuk bersaing bersama Muhammad Aznil bagi merebut slot ke Paris 2024.

“Memandangkan tiada kategori 55kg kerana kategori 61kg merupakan kategori paling kecil di Sukan Olimpik, jadi kami memutuskan untuk menukar kategori Mohamad Aniq untuknya bertarung bersama Muhammad Aznil ke Sukan Olimpik,” katanya.

-- BERNAMA