Isn Fokus Pulih Kecederaan Nur Shazrin

Atlet pelayaran negara Nur Shazrin Mohamad Latif
30/04/2024 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Atlet pelayaran negara Nur Shazrin Mohamad Latif diberi jaminan tidak perlu menunggu lama bagi mendapatkan rawatan susulan berikutan kecederaan tangan kanannya ketika menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli berkata selaku atlet Program Podium, beliau mempunyai akses secara terus bagi mendapatkan rawatan sekali gus meneruskan hasrat untuk membuat penampilan ketiganya di pentas Sukan Olimpik 2024 Paris.

"Sekarang kami sedang berusaha sehabis baik dan percaya pakar perubatan ISN akan bantu beliau. Setiap keputusan akan dibuat berdasarkan siasatan terhadap laporan ujian imbasan kecederaan berkenaan.

"Intervensi dan program pemulihan akan kita amati serta buat perbincangan bersama Shazrin serta jurulatih. Kita ada lebih tiga bulan lagi dan saya optimis dalam memastikan dia dapat ke Olimpik," katanya selepas ditemui pada simposium First Asian Cardiology di ISN, Bukit Jalil di sini hari ini.

Ahmad Faedzal dalam masa sama menepis dakwaan bahawa atlet kelahiran Johor itu hanya akan menjalani pemeriksaan lanjut selewat-lewatnya pada 17 atau 20 Mei ini.

Semalam, Nur Shazrin memberi bayangan mungkin terpaksa melupakan penampilan Sukan Olimpik Paris sekiranya tiada ‘lampu hijau’ diberikan oleh pasukan perubatan berhubung kecederaan beliau.

Terdahulu, beliau mengesahkan tiket ke Paris selepas meraih pingat emas di China dalam kategori Handed Dinghy ILCA 6.

Untuk rekod, Nur Shazrin menduduki tempat ke-33 pada penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Rio 2016 dan tempat ke-26 di Tokyo 2020.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Faedzal memaklumkan seramai 80 pegawai perubatan akan terlibat memantau perkembangan atlet dengan 21 daripadanya bakal diterbangkan bersama-sama ke Paris.

-- BERNAMA