Nur Shazrin Masih Pilihan Utama Ke Paris - Msa

Nur Shazrin Mohamad Latif
30/04/2024 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) tidak mahu menekan ‘butang panik’ selepas atletnya Nur Shazrin Mohamad Latif berdepan kemungkinan terlepas aksi di Sukan Olimpik Paris 2024 berikutan kecederaan berulang pada tangan kanannya.

Pegawai Eksekutif Sukan MSA Nurul Ain Md Isa berkata Nur Shazrin kekal menjadi taruhan utama untuk menggalas cabaran negara di Paris.

Beliau berkata MSA juga tidak memikirkan soal untuk mencari pengganti pemenang pingat emas acara ILCA 6 wanita Sukan Asia Hangzhou 2022 itu.

“Mungkin kecederaan menyebabkan beliau (Nur Shazrin) rasa mungkin terpaksa lupakan Olimpik, itu andaian beliau tapi di pihak persatuan kita masih mengharapkan kepada beliau, kita tidak fikir sampai ke tahap itu (terlepas aksi di Olimpik) dan untuk menggantikannya.

“Melainkan kalau beliau disahkan tidak boleh beraksi, soal kecederaan dan pemulihan di bawah pemantauan ISN (Institut Sukan Negara), jadi kita pun bergantung kepada nasihat dan saranan doktor,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada masa sama, Nurul Ain berkata ‘kisah’ yang sama berlaku sewaktu Nur Shazrin dalam persediaan ke Sukan Asia Hangzhou.

Namun, katanya Nur Shazrin membuktikan kecekalan sebagai seorang atlet apabila berjaya mengatasi kecederaan sama dengan mengikuti program ISN sebelum mengharumkan nama negara di bumi China.

“Sebelum Sukan Asia pun timbul cerita kemungkinan beliau tak dapat beraksi tetapi selepas mengikuti program disediakan ISN beliau pulih dan tidak ada masalah untuk beraksi.

“Kita tidak akan paksa atlet beraksi sampai kecederaannya semakin teruk, selagi kita tidak menerima maklumat (mengatakan dia tidak boleh beraksi) kita akan kekal dengan Nur Shazrin. Doktor mungkin kata beliau boleh beraksi tapi perlu pakai pelindung tangan, kalau ada kita akan turuti,” katanya.

Semalam, Nur Shazrin memberi bayangan beliau mungkin terpaksa melupakan penampilan di Paris 2024 sekiranya tiada ‘lampu hijau’ diberikan oleh pasukan perubatan berhubung kecederaan berkaitan saraf dan ligamen melibatkan tiga jarinya iaitu tengah, manis dan kelengkeng.

Kecederaan itu dialami ketika beliau dan skuad pelayaran negara menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis baru-baru ini.

Atlet yang berasal dari Pasir Gudang, Johor itu mengesahkan tiket ke Paris 2024 selepas meraih emas di Hangzhou sekali gus bakal membuat penampilan ketiga di temasya sukan berprestij itu selepas edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020.

Selain beliau, pelayar berpengalaman negara Khairulnizam Mohd Afendy turut berjaya melayakkan diri ke Paris 2024 selepas menduduki tempat ketiga dalam acara ILCA 7 lelaki di Hyeres.

Sebagai rekod, Nur Shazrin menduduki tempat ke-33 dalam acara laser radial wanita pada penampilan sulungnya di Rio dan memperbaiki pencapaian apabila menamatkan acara sama di tempat ke-26 di Tokyo.

-- BERNAMA