Trio Pecut Wanita Dalam Senarai Menunggu Ke Paris 2024

Timbalan Ketua Pengarah (Pembagunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin
03/05/2024 05:36 PM

PUTRAJAYA, 3 Mei (Bernama) -- Trio pecut wanita negara berpeluang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 apabila berada pada kedudukan pertama senarai menunggu untuk mengambil bahagian di temasya yang berlangsung 26 Julai hingga 11 Ogos depan itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembagunan Sukan) Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata bagaimanapun pasukan berbasikal trek wanita kebangsaan bergantung kepada situasi apabila terdapat mana-mana negara menarik diri daripada menyertai acara berkenaan di temasya empat tahun sekali itu.

“Kita dengar John Beasley (Ketua Jurulatih Berbasikal Trek) memaklumkan skuad pecut wanita menduduki ranking kesembilan Olimpik, ke-11 dunia dan merupakan pasukan simpanan pertama untuk ke Olimpik Paris. 

“Beasley juga bercadang agar pasukan wanita pecut ini dimasukkan ke dalam program Fast Track Road to Gold (RTG) memandangkan mereka menduduki tempat ke-11 dunia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Bengkel Projek Los Angeles (LA) 2028 di sini hari ini. 

Jefri berkata trio pecut wanita itu dibarisi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Anis Amira Rosidi. 

Nurul Izzah telah layak ke Olimpik Paris 2024 bagi acara keirin dan pecut perseorangan selain dua jaguh berbasikal trek lelaki Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom. 

Sementara itu, Jefri berkata pihaknya sedang menunggu mesyuarat jawatankuasa RTG untuk meluluskan cadangan menyenaraikan Nurul Izzah ke dalam program Fast Track

Mengulas mengenai Projek Khas LA 2028, Jefri berkata ia merupakan projek di bawah Fast Track yang memberi tumpuan lebih khusus untuk memperbaiki kelemahan atlet di bawah program itu menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028. 

“Setiap atlet dalam projek khas untuk Fast Track mempunyai komponen (kelemahan) yang jurulatih utarakan, dan kita beri tumpuan untuk memperbaiki kelemahan itu.

“Sebagai contoh Nurul Izzah, dalm keirin satu kita nak tambah baik adalah kekuatan otot dan kekuatan, itu projek khusus, menjelang 2028 kelemahan itu boleh diatasi menyamai atlet bertaraf dunia,” katanya. 

Terdahulu, Beasley bersama Pengarah Teknikal (Terjun) Persekutuan Renang Malaysia (MAS) Bryan Nickson Lomas dan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) Major (b) S Maniam hadir ke bengkel berkenaan untuk membentangkan program yang disediakan untuk atlet mereka.

Setakat ini enam atlet sudah disenaraikan dalam Program Fast Track iaitu dua penerjun lelaki Bertrand Rhodict Lises dan Enrique Maccartney Harold serta empat pemain skuasy negara - Ng Eain Yow, S Sivasangari, Aifa dan Aira Azman.

-- BERNAMA