Pkbm Sasar Mohd Azizulhasni Raih Pingat Emas Di Sukan Olimpik Paris

Datuk Mohd Azizulhasni Awang
05/05/2024 06:39 PM

 

PETALING JAYA, 5 Mei (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak teragak-agak untuk menyasarkan membawa pulang satu pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata sasaran itu berdasarkan aspirasi disuarakan juara dunia keirin 2017, selepas meraih pingat gangsa pada edisi 2016 di Rio de Janeiro dan perak di Olimpik Tokyo 2020.

“Saya rasa kita semua tahu aspirasi Mohd Azizulhasni menghala ke Sukan Olimpik Paris. Baru-baru ini, beliau mengatakan semua orang tahu apa yang dia mahukan di Paris nanti. Beliau telah menang pingat gangsa di Rio, kemudian pingat perak di Tokyo, satu yang belum diperoleh adalah pingat emas.

“Saya telah berbincang dengan jurulatih, John Beasley dan berdasarkan aspirasi  Mohd Azizulhasni sendiri, PKBM menyasarkan satu pingat emas di dalam sukan berbasikal trek di Sukan Olimpik Paris,” katanya di sini hari ini. 

Amarjit berkata sasaran itu bukan dilakukan secara tiba-tiba malah ia realistik berdasarkan keadaan The Pocket Rocketman ketika ini, pastinya PKBM akan membentangkan sasaran itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat.

Ditanya sekiranya keputusan tidak seperti diharapkan, Amarjit berkata semasa pertandingan apa sahaja boleh berlaku, dan pada masa sama menyasarkan seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firduas Sahrom yang juga berpotensi membutirkan pingat buat kontinjen negara.

“… seperti anda lihat di Tokyo, ia adalah percaturan luar biasa daripada Jason (Kenny) (dari Great Britain) sehingga membuka ruang besar antara pelumba lain dan teknik pelumba itu menyebabkan kita terlepas pingat emas walaupun sedar pingat emas sebenarnya dalam genggaman.

“Apapun ia bergantung kepada hari pertandingan sebenar nanti. Kita berharap beliau akan berada dalam keadaan terbaik, tiada perkara tidak diingini seperti pelanggaran dan sebagainya ketika perlumbaan,” katanya. 

Pada 26 April lepas, Mohd Azizulhasni pada sidang media di Velodrom Nasional, Nilai tekad untuk ‘dikalungkan’ pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 pada penampilan terakhirnya di temasya itu. 

Bagi acara berbasikal trek, dua lagi pelumba layak ke Olimpik Paris 2024 iaitu Muhammad Shah Firdaus dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri manakala Nur Aisyah Mohamad Zubir menjadi pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama beraksi di pentas Olimpik. 

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Dalam perkembangan lain, Amarjit berkata PKBM terbuka dengan sebarang kemungkinan jika Mohd Azizulhasni masih mahu terus berlumba selepas temasya di Paris nanti.

“Setakat ini, saya rasa ini merupakan Olimpik terakhir beliau tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan. Saya fikir ini adalah sesuatu yang hanya Mohd Azizulhasni boleh jawab. Tetapi setakat yang kita tahu, ini adalah Olimpik terakhirnya.

“...jika beliau mahu berada di sana, sebagai contoh mungkin mahu mengambil bahagian dalam Sukan Asia 2026, kami akan menyokong. Tetapi saya rasa perkara ini hanya boleh dibincangkan selepas Sukan Olimpik. Saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara ini,” katanya.

-- BERNAMA