Hannah Harap Atlet Wanita Rai Pingat Di LA28, Tumpuan Pada Skuasy

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh (tiga, kanan) melancarkan Kejohanan ACE Malaysia Squash Cup 2024 di Royal Chulan Damansara hari ini. Turut serta, Penaung Persekutuan Squad Dunia Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar (lima, kanan). -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
10/09/2024 09:42 PM

PETALING JAYA, 10 Sept (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap Malaysia bukan setakat mampu menjelmakan pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) nanti tetapi juga menyaksikan atlet wanita kembali ke pentas podium di temasya berprestij empat tahun sekali itu.

Hannah berkata harapan itu boleh disandarkan pada atlet skuasy wanita yang dilihat mempunyai persekitaran positif di bawah bimbingan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

“Melihat senarai pemenang pingat untuk Malaysia di Olimpik Paris dan Paralimpik Paris, saya tidak menemui seorang wanita pun dalam senarai tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika sidang media selepas Pelancaran Kejohanan ACE Malaysia Squash Cup 2024 di Royal Chulan Damansara hari ini. -- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Di LA28 kita bukan hanya memburu pingat emas tetapi saya juga ingin melihat atlet wanita bangkit untuk mencipta kejayaan dan berada di podium,” katanya selepas merasmikan pelancaran Piala Skuasy ACE Malaysia 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata skuasy antara acara sukan jarang dimainkan di Malaysia tetapi menyaksikan lebih banyak pemain wanitanya menduduki ranking 100 terbaik dunia berbanding lelaki dan untuk itu kementeriannya telah memulakan persiapan awal untuk LA28 bagi skuasy serta semua sukan lain.

"Ini penting jika kita ingin memenangi pingat kerana China juga telah mula mempersiapkan pemain mereka untuk LA28,” katanya sambil menjelaskan bahawa pihaknya telah menyenaraikan legenda skuasy negara, Datuk Nicol David dalam lembaga Institut Sukan Negara untuk memajukan sukan tersebut.

Sebagai rekod, atlet terjun Cheong Jun Hoon-Pandelela Rinong meraih pingat perak untuk Malaysia dalam acara papan 10 meter seirama wanita, manakala Goh Liu Ying dan gandingannya Chan Peng Soon juga memperoleh pingat perak dalam acara beregu campuran badminton di Rio 2016.

Bagaimanapun, tiada wanita Malaysia yang berjaya naik ke podium di Tokyo 2020 mahupun di Sukan Paris yang baru berakhir.

Sementara itu, kejohanan Siri Jelajah Dunia  Persatuan Skuasy  Profesional (PSA) peringkat gangsa akan diadakan pada 12-17 Nov ini di The Curve, dengan lebih 100,000 penonton dijangka hadir untuk menyaksikan pertandingan tersebut.

Terdahulu, Hannah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara ACE Sports & Management dengan Universiti West of England (UWE) bagi menawarkan biasiswa kepada pemain profesional muda Malaysia.

Kerjasama yang bermula tahun ini akan berlangsung hingga 2029 dengan atlet Malaysia yang terpilih perlu berada dalam ranking 200 terbaik dunia.

-- BERNAMA