Sze Fei-nur Izzuddin Selangkah Rangkul Juara Bac 2024

13/04/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China.

Gandingan itu mara ke pentas final selepas menidakkan kemaraan pasangan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-14, 21-18 dalam pertarungan selama 40 minit pada aksi separuh akhir di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo hari ini.

Ia kemenangan kedua pasangan ranking ke-19 dunia itu ke atas Aaron-Wooi Yik yang juga beregu lelaki utama negara selepas kali terakhir melakukannya pada Terbuka Jerman 2019.

Menanti mereka di final ialah antara beregu tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang dan beregu Taiwan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan yang beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.

Kali terakhir Malaysia muncul juara beregu lelaki saingan BAC adalah pada edisi 2007 di Johor Bahru menerusi kejayaan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menewaskan rakan sepasukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-14, 11-21, 21-12.

-- BERNAMA