Sze Fei-nur Izzuddin Tewas Di Final Bac 2024

Photo credit : Badminton Asia
14/04/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Hasrat beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bergelar juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 tidak kesampaian selepas tewas di pentas final hari ini.

Pada aksi di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China, Sze Fei-Nur Izzuddin tunduk kepada pasangan tuan rumah Liang Wei Keng-Wang Chang 17-21, 21-15, 10-21 dalam pertarungan selama sejam empat minit.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang merupakan pasangan bukan pilihan bermula garang apabila saling bertukar mata dengan beregu ranking ketiga dunia itu sebelum Wei Keng-Wang Chang meraih kemenangan pada set pertama.

Photo credit : Badminton Asia

Beregu negara itu bangkit di set kedua untuk mengheret permainan ke set penentuan, namun gagal meneruskan rentak cemerlang yang membawa mereka ke final.

Sze Fei-Nur Izzuddin menyingkirkan jaguh dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae di pusingan pertama kejohanan dan rakan senegara Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi separuh akhir, semalam. 

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk mengulangi kejayaan yang kali terakhir dikecapi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah selepas menewaskan rakan sepasukan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong semasa saingan BAC edisi 2007 di Johor Bahru.

-- BERNAMA